Sunday, October 4, 2009

Lawatan Sambil Belajar

Rantau Abang Dungun Terengganu

Pada 7 dan 8 Ogos lepas Persatuan Muzik SMKPC2 bersama dengan Pasukan Pengakap sekolah telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Rantau Abang Dungun Terengganu. Lawatan ini bertujuan untuk merehatkan minda dan mencari pengalaman baru dalam muzik. Pelajar mendirikan khemah di kawasan perkhemahan di pantai. Mereka di biarkan berdikari dengan mencuba masakan sendiri menu sardin dan telur goreng. Pada petang itu juga diadakan acara treking di atas sebuah bukit untuk melihat batu yang menyerupai ibu penyu. Perjalanan ke puncak bukit itu mengambil masa 3 jam pergi dan balik. Pada sebelah malam kumpulan kami berkumpul di pantai pada jam 9.00 malam untuk aktiviti seterusnya. Kumpulan pelajar muzik dikehendaki menyanyi lagu ciptaan mereka sendiri yang direka di pantai pada malam itu. Mereka juga mencipta lagu dalam kumpulan. Selepas itu mereka melakukan aktiviti dalam kumpulan seperti nyanyian dan gerakan bersama lagu. Mereka juga diminta memperkenalkan diri dan latarbelakang keluarga mereka. Aktiviti ini diteruskan lagi pada pukul 10.30 malam dengan melihat penyu bertelur. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan berlepas dalam kumpulan masing-masing sambil diiringi guru pengiring. Mereka mesti berjalan senyap dan berhati-hati. Saat untuk merakamkan kenangan indah bersama penyu tidak kesampaian namun pengalaman menjejaki penyu memberi keseronokan kepada kami. Keesokkan pagi kumpulan kami membuat lawatan ke pusat penerangan pelancongan dan pusat Zoologi haiwan-haiwan laut. Kami mendapat banyak maklumat dan gambar sebagai kenangan. Pada pukul 12.00 tengahari kumpulan kami bertolak balik dan singgah sebentar di Kuala Terengganu. Kami melawat Masjid Kristal dan kawasan sekitarnya. kemudiannya kami ke Pusat bandar dan ke Muzium negeri melihat Gamelan Terengganu di samping alat muzik yang lain seperti rodat.

No comments:

Post a Comment